Review Buku: Mawaddah Ilmi Ingin Pulang, Auni Zainal


"Kita tak bertanggungjawab atas apa yang orang lain rasa. Dan kenapa pula kita kena biar orang lain tentukan apa yang kita patut rasa?"


Mawaddah Ilmi Ingin Pulang merupakan novel pertama yang aku baca dari Auni Zainal, tetapi tidak menghalang aku untuk menjadikannya sebagai salah sebuah novel terbaik yang aku pernah baca sepanjang 2021. Aku suka semuanya tentang Mawaddah Ilmi Ingin Pulang.

Cukup dan lengkap, malah melebihi apa yang aku harapkan. 

Aku rasa sedikit rugi kerana mengambil masa yang agak lama untuk mula menyelusuri kisah Mawaddah Ilmi. Bagi aku, permulaan bab saja sudah cukup baik garapannya untuk menarik perhatian  pembaca supaya kekalkan pembacaan. 

Terlalu banyak peristiwa besar yang diketengahkan oleh penulis sekaligus mengangkat beberapa tema seperti kesihatan mental, berdamai dengan diri & dinamik kekeluargaan. Gabungan konflik yang mengaitkan isu  pendaman/trauma yang melibatkan orang yang dipercayai, dan disayangi, perceraian, kehilangan identiti dan kepercayaan, merupakan konflik yang berselirat dan membawa kepada emosi yang berat tetapi telah disampaikan oleh penulis dengan tersusun. 

Aku sendiri dapat rasa, macam mana terujanya aku untuk tahu apa yang akan berlaku kepada Mawaddah Ilmi, seorang yang mempunyai kekuatan dan keistimewaan tetapi diselindungi oleh sifat 'fragilenya' itu, apabila di setiap bab, penulis meninggalkan tanda tanya dengan petunjuk-petunjuk yang intense. Dan setiap petunjuk yang disampaikan dengan sentuhan emosi yang sukar dimengertikan sehingga semakin lama, semakin aku tidak boleh melepaskan naskhah ini. 

Terus-terang, Penting dan  Bukti adalah bab yang mampu membuatkan jantung aku berdetak laju dan emosi aku turun naik. Ada seorang Sahri saja  dalam hidup juga sudah cukup membuatkan hidup kucar kacir. Iffat dengan pewatakan yang penuh pengertian tetapi tetap mempunyai sisi marah tetapi sebenarnya sayang. Sakinah yang sentiasa ada disisi Mawaddah, antara watak yang aku langsung tak jangkakan. Scene-scene yang melibatkan sesi terapi dan profesional antara scene yang aku sangat raikan. 

Dan apa yang aku nanti-nantikan ialah, perkembangan perwatakan Mawaddah Ilmi. Ia dijelaskan dengan sangat ketara. Aku dapat melihat perbezaan perwatakan Mawadaah di awal dan sepanjang bab dan di akhir-akhir bab. 

"Menjadi kuat itu tidak semestinya dengan menghadap buta-buta saja semua halangan yang ada depan mata kita, kemudian bertahan dengan halangan itu. Mengelakkan halangan, memilih jalan yang betul atau berundur untuk bertenang, pun dikira kekuatan."

Secara peribadi, naskhah ini merupakan naskhah yang sangat baik garapannya dan tidak terlalu melebih-lebih juga untuk aku mengakui yang ianya sempurna. Tidak hanya pada pembentukan plot dan kematangan jalan cerita, gabungan konflik, dialog yang  penuh pengertian, flashback yang kemas, tetapi juga perkaitan antara watak utama dan watak sampingan. Mesej dan pengajaran tersirat yang disisipkan sangat membantu kita semua untuk belajar fight untuk diri kita dulu sebelum orang lain, tidak mensia-siakan apa yang kita ada. Pengakhiran yang sangat memuaskan hati, cukup damai dan  sedikit manis. 

" Apabila kita sendiri bahagia, barulah kita boleh bahagiakan orang lain." 




No comments:

Thank you!

fnamaya. Powered by Blogger.