E-cerita : Tak Selamanya Gelap

Monday, May 23, 2016





Penerbangan dari Perth ke Kuala Lumpur, mengambil masa lebih kurang lima jam setengah. Badannya sudah terasa lenguh sedikit apabila dari tadi hanya kekal di posisi yang sama. Zuhri menanggalkan tali pinggangnya sebelum melakukan sedikit renggangan.

Kepalanya menoleh ke kiri sekilas. Nik Faqeh masih lagi tidur tanpa rasa terganggu sedikitpun. Dia bangun untuk ke tandas yang jauhnya hanya selang beberapa dari tempat duduknya. Mujur saja mereka mengambil tiket kelas bisnes yang ruang di hadapannya agak luas dan memudahkan dirinya untuk keluar.

Dia berjalan menuju ketandas dan sebaik saja dia masuk ke dalam tandas, isyarat lampu yang tadinya hijau bertukar merah.
Beberapa minit kemudian, Zuhri keluar dari tandas, dan berjalan ke tempat duduknya, namun dia hampir terlanggar dengan seorang gadis bertudung hitam yang tiba-tiba keluar dari tempat duduk dihujung sekali.

“Maaf.” Ucap gadis tersebut yang sempat melewati kewajahnya. Gadis tersebut berdiri agak lama menanti reaksi lelaki tersebut. Tunggu juga dia, kalau tak, takut lelaki itu melabel dia sebagai kurang ajar pula. Sudah la terlangar orang kan.

Namun lelaki tersebut, hanya memandang ke wajahnya sekilas dan mengangguk sedikit.  Apabila, dia melihat lelaki tersebut sudah kembali ke tempat duduknya, dia mengangkat bahu seraya melangkah mendekati pramugara di ruangan belakang.

Zuhri bersandar di kerusi sambil mengenakan tali pinggang. Dia cuba memejamkan matanya serapat mungkin. Sejak dia menaiki penerbangan pada jam 4.30 petang tadi, dia masih belum boleh melelapkan mata barang seminit dua.

Dia cuba berkali-kali, namun matanya bagaikan sudah diprogram untuk terus berjaga. Sudahnya dia terpaksa menghabiskan masa dengan menonton movie yang disediakan. Sesekali, dia merenung pemandangan di luar yang memaparkan panorama yang terlalu indah di matanya. Awan putih bergerak perlahan, langit berdiri teguh tanpa tiang. Sungguh menenangkan apabila melihat ciptaan Tuhan. Namun ketenangan tersebut masih belum mampu membuatkan dia lupa tentang peristiwa yang berlaku beberapa hari lepas.

“Kau tak tidur dari tadi?”  Nik Faqeh tiba-tiba bersuara perlahan. Suaranya agak serak. Dia mungkin saja baru bangun dari lenanya. Beberapa kali meraup wajahnya, dia menoleh kearah Zuhri.

“Nyenyak betul kau tidur. Sudahlah pramugari cun lalu banyak kali tepi kau, sedikit rugi disitu.” Zuhri cuba mengusik Nik Faqeh. Nik Faqeh ketawa kecil. Dia langsungtidak kisah dengan usikan Zuhri yang ternyata sekadar mahu mengaburi matanya.

“Rugi apanya? Aku balik nanti dah ada Suri yang menanti.” Balas Nik Faqeh sambil tersenyum lebar. Terasa tidak sabar untuk tiba di Kuala Lumpur. Isterinya sudah pasti akan menunggunya seperti biasa. 

Zuhri dilihat tersenyum nipis sambil menangguk-anggukkan kepala. Serta merta, dia ternampak wajah isteri Nik Faqeh, Suri yang lembut. Beberapa saat mereka menyepi, Nik Faqeh menyoal Zuhri tenang.

“Kau okay?”
“Kau nampak aku okay ke?” Nik Faqeh senyum kecil.
“Aku nampak kau buat-buat okay, Zuhri.” Jujurnya, itulah dia nampak melewati wajah Zuhri sejak perkara tersebut berlaku.

Zuhri menggeleng perlahan.

Dia menggarukan dahinya yang tidak gatal sebelum menekup mukanya lama. Nik Faqeh simpati. Namun, tidak dinafikan, hati kecilnya senang dengan apa yang terjadi kepada kawan baik. Bukannya, dia mendoakan perkara tersebut berlaku. Dia pun bukannya jahat sangat sampai nak bergembira atas kesedihan kawan baiknya. Tapi dia tahu perkara yang berlaku kepada Zuhri beberapa hari yang sudah itu ada hikmahnya. Mungkin sekarang, Zuhri tak nampak, tapi dia pasti lambat laun, pasti ada berita baik untuk kawan baiknya.

“Dia dah musnahkan segala-galanya, Nik.”

Zuhri meraup mukanya sebelum melepaskan keluhan berat. Nik Faqeh angguk. seraya menepuk perlahan bahu Zuhri. Dia faham perasaan tersebut namun untuk berkata tenanglah wahai sehabat buat masa ini, bukanlah sesuatu idea yang baik.       Bagilah, Zuhri melepaskan rasa yang berselirat itu sendiri. Dia pasti masa akan menyembuhkan perasaan kawan baiknya. Dia akan bantu perlahan-lahan.

“Aku nak rehat sekejap. Kalau aku terlelap, kau kejutkan aku.” Zuhri pejam mata tanpa sempat mendengar respon Nik Faqeh.  Melihat Zuhri tenang dengan caranya sendiri, Nik Faqeh kembali menyandarkan tubuhnya ke kerusi.

Biarlah. Lambat laun, Zuhri akan mengerti. Dia mencapai earphone lalu disumbatkan ke telinganya. Tangannya menekan punat mencari movie yang menarik untuk di tonton.

Zuhri yang baru saha mahu memejamkan matanya,  tersentak tatkala seorang pramugara menghulurkan dia segelas jus epal dan sekeping nota. Dahinya berkerut. 

 "Bila masa kau minta?" 
Zuhri geleng kepala. "Aku tak minta." 
 Pramugara tersebut hanya tersenyum.

“Tapi jus epal ini memang untuk kawan encik” Nik Faqeh mengerutkan dahinya. Dia pandang Zuhri. Zuhri pandang Nik Faqeh.  

“Hmm takpelah.” Zuhri segera mengambil gelas tersebut dan juga nota dengan teragak-agak. Namun nota yang di berikan oleh pramugara itu, membuatkan dia berbelah bahagi. Memang dia mahukan air tersebut, tapi nota tu?

Wajah pramugari yang masih setia di tempat mereka di renung dengan kabur. Kemudian, pramugara melemparkan senyuman dan sekilas pramugara tersebut berpaling ke deretan penumpang di belakang. Nik Faqeh dan Zuhri  ikut berpaling  serentak.

Kelibat seorang gadis bertudung hitam yang baru saja keluar dari tandas, menundukkan kepala kearah mereka. Senyuman nipis terhias dibibir gadis tersebut. Nik Faqeh membalas senyuman manakala Zuhri tidak beriak, dia hanya menoleh, memandang ke hadapan.

Nik Faqeh musykil sendiri. Dia tak tahu apa yang berlaku. Mungkin gadis itu kenalan Zuhri. Tapi tak nampak Zuhri excited pun. Setelah berterima kasih dengan pramugara tersebut dan percya bahawa ada yang memesan jus epal untuk Zuhri, dia lega. 
 Nik Faqeh mengerling kearah Zuhri yang sedang membaca nota tersebut.

Maaf.
Saya terlanggar awak. Btw, jus epal ni saya memang pesan untuk awak. Cuma berharap awak akan lebih relax,  sebab muka awak nampak serabut.

“Kenapa pandang aku macam itu?” Soal Zuhri pelik. Melihat wajah Nik Faqeh yang tersenyum mengusik, dia mula melipat semula nota tersebut. Dia menyimpan nota tersebut ke dalam poket.
“Aku tak tau pulak kau ada kawan naik flight sekali.”
“Aku tak kenal dia." 
"Kalau tak kenal..."

"Kitaorang terlanggar masa aku keluar dari toilet tadi. Itu je. ” Balas Zuhri ringkas. Dia minum sekali teguk jus epal dan kembali memejamkan matanya. Dia tidak berminat untuk berbual berkenaan gadis tersebut.

Nik Faqeh mengangkat bahu tanda dia tidak mahu mendesak Zuhri. Sudahlah mamat tu masih belum berada di dalam kewarasan yang tertinggi. Takut juga, kalau mendesak sangat, dapat penumbuk dekat muka! Bukan boleh aci sangat. 

Dia tak mampu  bertenang. Fikirannya runsing. Apa saja yang ada di dalam benaknya, tidak tersusun langsung. Apa yang perlu  di jelaskan kepada keluarganya? Dia buntu. Dia sendiri tiada jawapan yang kukuh untuk permasalahan yang melanda dirinya saat ini. Jawapan apa yang mahu di beritahu, sedangkan punca masalahnya juga, dia sendiri kelam.
Nik Faqeh dari tadi mencuri pandang ke wajah Zuhri yang sekejap sekejap berkerut dahi. Langsung tiada riak tenang dan gembira. “Setiap yang berlaku ada hikmah dia , Zuhri.”


“Hmm…” Hanya itu yang mampu di luahkan oleh Zuhri. 

No comments:

Thank you!

fnamaya. Powered by Blogger.